Search

Tips Semasa Kawalan Covid-19


PENGUMUMAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bertujuan membasmi penularan wabak Covid-19 kepada lebih ramai mangsa di negara ini.


Berdasarkan arahan yang dikeluarkan semua institusi pendidikan ditutup dan kakitangan sektor swasta serta kerajaan kecuali 25 sektor diklasifikasikan penting juga diminta bekerja daripada rumah bermula 18 Mac sehingga 31 Mac ini.


Perintah itu antara lain menetapkan larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara dengan semua rumah ibadat dan premis perniagaan ditutup kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.


Dengan kata lain, dalam tempoh dua minggu itu, ibu bapa dan anak-anak perlu berada di dalam rumah untuk memastikan wabak tidak terus merebak.


Sebenarnya daripada sudut positif, arahan ini secara tidak langsung perlu diambil peluang untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan yang sebelum ini sukar dilakukan berikutan sibuk dengan tugas masing-masing.


Perkara ini diakui oleh Pakar Motivasi Kepimpinan Diri, Keluarga dan Organisasi, Dr Azuraida Shahadan yang berpendapat bahawa PKP adalah inisiatif untuk membantu mendidik anak-anak mengenai situasi Covid-19 yang terjadi terutama dari aspek kebersihan dan keselamatan diri.


Azuraida berkata, dengan adanya PKP, ibu bapa akan mempunyai masa untuk bercakap dan memberitahu anak-anak mengenai keadaan semasa.


“Segala yang terjadi pasti ada hikmahnya. Mungkin apa yang terjadi ini memberi peluang kepada ibu bapa untuk merapatkan diri dengan anak-anak dengan meluangkan masa bersama.


ELAKKAN penggunaan gajet secara berterusan.


“Kesempatan ini perlu digunakan sebaik mungkin dengan melakukan aktiviti dan berbual bersama untuk memperbaiki hubungan yang tidak erat akibat kekangan kerja.


“Jika sebelum ini ibu bapa terlalu sibuk dengan pekerjaan dan jarang meluangkan masa bersama anak dalam menelaah buku sekolah mereka, sekarang masanya untuk menebus dan melihat kembali apa yang mereka pelajari di sekolah,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.


Menurut Azuraida, ibu bapa boleh pastikan anak tidak mengganggu kerja di rumah dengan menetapkan peraturan dan jadual mengikut kesesuaian umur.


Kata Azuraida, perkara itu perlu dilihat dari sudut positif dan susun jadual sebaik mungkin serta ubah cara anda melihat keadaan.


Katanya, anak-anak boleh dikawal contohnya buat jadual bersama sehingga tamat tempoh kawalan iaitu bermula jam 7 pagi ketika mereka bangun tidur sehinggalah 9 malam ketika mereka mahu tidur.


“Jadual ini harus selaras dengan jadual kerja ibu bapa di rumah.

“Sebagai contoh, selepas makan pagi, anak-anak akan memulakan sesi ulang kaji atau aktiviti

seni seperti melukis atau bermain muzik (tetapkan jadual mata pelajaran terlebih dahulu) sama waktunya seperti di sekolah, jam 12 tengah hari hingga 2 petang, adalah waktu rehat dan makan.

“Bermula jam 2 petang, aktiviti seperti saranan konsep A (ajar), B (bantu), C (cakap), D (DIY) boleh dimulakan,” katanya.


Azuraida berkata, terdapat banyak aktiviti yang dapat dilakukan bersama anak terutama dalam aspek pendidikan.


Misalnya, melakukan aktiviti menyusun mengikut minat anak dengan menggunakan jadual dan diselaraskan mengikut usia serta perkembangan mereka.

Kata Azuraida, untuk anak di bawah usia 12 tahun contohnya perlu menggunakan pendekatan dan penyusunan aktiviti kreatif manakala anak berusia antara 13-17 tahun, lakukan aktiviti yang dirasakan sesuai.


Katanya, ibu bapa juga perlu memantau penggunaan gajet dalam kalangan anak mereka supaya tidak berlebihan.


“Gajet boleh diberikan tetapi memerlukan pembatasan masa misalnya hadkan supaya tidak melebihi 40 minit pada satu-satu masa.


“Ia perlu diberi perhatian kerana penggunaan gajet yang berlebihan boleh memberi kesan kepada kesihatan mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Azuraida berkata, tanggungjawab ibu bapa sememangnya tidak mudah namun perlu memahami bahawa anak-anak adalah tanggungjawab dan bukannya beban.


“Sepanjang menjaga anak-anak di rumah dalam tempoh kawalan ini, jadilah ibu bapa 4P iaitu Peka, Prihatin, Positif dan Penyayang.


“Tetapkan dalam minda, keadaan ini hanya seketika dan inilah masa yang Allah kurniakan untuk bersama anak tersayang.


“Saya selalu berpesan dan bertanya kepada ramai ibu bapa di luar sana, jika hari ini adalah hari terakhir kita bersama anak-anak kita, apakah yang akan kita lakukan bersama?” katanya.


https://www.hmetro.com.my/WM/2020/03/557406/masa-eratkan-hubungan-keluarga

1 view

Lets Get in Touch!

Contact

Dr Hjh Azuraida Shahadan

Akademi Minda by DrAzu Training Academy & Consultancy

Suites 3-10, 3rd Floor North Block The AmpWalk Jalan Ampang

55000 Kuala Lumpur

Email: dr.azuraidaacademy@gmail.com

  • Black Facebook Icon
  • Black Instagram Icon
  • Black YouTube Icon

Proudly Designed by XnR Technologies Sdn Bhd